Home Pertahanan dan Keselamatan Hasrat 6 PATI Indonesia ceroboh masuk Malaysia tidak kesampaian

Hasrat 6 PATI Indonesia ceroboh masuk Malaysia tidak kesampaian

by Air Times News Network

KOTA TINGGI, 24 Mac – Hasrat sekumpulan 6 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk menceroboh masuk ke Malaysia tidak kesampaian apabila mereka berjaya ditahan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Kampung Punggai, semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, anggota TDM yang sedang melaksanakan rondaan telah mengesan pergerakan 6 orang PATI dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

“Tim Quick Reaction Force (QRF) telah diaturgerakkan bagi membuat serbuan dan penahanan ke atas 6 orang PATI tersebut,

“Kesemua tahanan terdiri daripada 4 lelaki dan 2 orang wanita merupakan warganegara Indonesia yang berusia 32 hingga 48 tahun,” katanya.

Menurutnya, kesemua PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat dokumentasi serta saringan COVID-19 dan hasil saringan mendapati kesemuanya negatif COVID-19.

“Kesemua PATI diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,

“Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2,044 termasuk 6 buah telefon bimbit, barang kemas dan barangan peribadi,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply