Home Pertahanan dan Keselamatan PDRM serbu 2 makmal proses dadah

PDRM serbu 2 makmal proses dadah

by Air Times News Network

PULAU PINANG, 21 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dadah dalam 2 serbuan berasingan di Georgetown dan Seberang Perai, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Polis Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan pertama dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang pada jam 9 pagi ke atas sebuah rumah dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan berjaya menemukan 42 bungkusan dadah heroin seberat 18,540 gram bernilai RM247,230; 2 ketulan heroin ‘base’ seberat 745 gram bernilai RM96,180; sebungkus dadah syabu (895 gram) bernilai RM32,220, sebungkus serbuk kafein seberat 16,275 gram bernilai RM5,530 dan peralatan serta bahan kimia untuk memproses heroin,

“Serbuan kedua di kawasan Seberang Perai telah menangkap seorang lelaki tempatan yang merupakan ketua sindiket,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, hasil ujian saringan air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah serta mempunyai rekod jenayah, dadah dan direman bermula 18 hingga 24 Mac 2022.

Tambahnya lagi, pihak polis turut menyita 5 buah kenderaan, barang kemas dan wang berjumlah RM650,777.00 termasuk nilai rampasan dadah.

Sementara itu, serbuan kedua telah dilakukan ke atas sebuah rumah flat di kawasan Jelutong yang dijadikan makmal proses dadah pada jam 2 pagi hari yang sama.

“Anggota polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA),

“Polis merampas 85 paket dadah MDMA seberat 2,025 gram bernilai RM101,265; satu paket syabu seberat 53.7 gram (RM5,370); 4 paket ketamin seberat 16.5 gram (RM2,475), 45 biji ekstasi (RM675) dan 40 pil eramin 5 (RM600),

“Sindiket ini aktif sejak Februari lalu dan semua dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan. Dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 800 penagih jika ia terlepas ke pasaran,” katanya.

Menurutnya lagi, hasil ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah dan pihak polis masih menyiasat sama ada lelaki berkenaan bergerak sendirian atau mempunyai ahli lain.

Suspek direman sehingga 22 Mac untuk siasatan lanjut. – airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply