Home Semasa Sultan Johor titah bakal Exco isytihar harta

Sultan Johor titah bakal Exco isytihar harta

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 17 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar calon Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang akan dilantik untuk membuat pengisytiharan harta.

Baginda bertitah demikian sewaktu berkenan menerima mengadap Menteri Besar ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada Rabu.

Menerusi laman media sosial rasmi Baginda bertitah, bakal calon Exco perlu melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan pihak polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Baginda turut bertitah kepada Menteri Besar supaya kelayakan akademik setiap calon juga disemak kesahihannya secara teliti dan kini masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan serta bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.

“Saya pegang kata-kata Datuk Hasni, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting serta lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” titah Baginda.

Titah Baginda, Johor sentiasa mengutamakan nasib rakyat dan begitu juga wakil yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab sewajarnya.

“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan,

“Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab terhadap negeri dan rakyat serta jangan termakan budi,” titah Baginda.

“Diperingkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Datuk Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah Baginda. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply