Home SemasaGlobal Poland setuju serah MiG-29 kepada Amerika Syarikat dengan bersyarat

Poland setuju serah MiG-29 kepada Amerika Syarikat dengan bersyarat

by M.Daim

WARSAW, 9 Mac – Kerajaan Poland hari ini bersetuju untuk menyerahkan kesemua 23 buah jet pejuang MiG-29 kepada Amerika Syarikat (AS) secara bersyarat.

Kementerian Luar Poland dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas satu perbincangan diadakan di peringkat kerajaan negara Eropah Timur itu.

“Kerajaan Poland bersedia untuk menyerahkan kesemua MiG-29 secara percuma kepada tentera AS di Pangkalan Udara Ramstein, Jerman,

“Kesemua pesawat tersebut akan diletakkan dibawah tanggungjawab kerajaan AS,” katanya.

Dalam pada itu, Warsaw menyuarakn permintaan kepada Washington untuk membekalkan pesawat bagi menggantikan peranan MiG-29 dalam Tentera Udara Poland.

“Kami bersedia untuk bersetuju dengan syarat penjualan yang akan dikemukakan,” jelas kenyataan itu.

Pada masa yang sama, Poland menyeru negara-negara anggota NATO yang memiliki jet pejuang MiG-29 untuk mengambil langkah yang sama.

MiG-29A/UB dioperasikan oleh 1st Aviation Squadron dan 41st Aviation Squadron Tentera Udara Poland. Operasi jet pejuang ini di Poland bermula seawal 1990-an selepas Moskow menerima 12 buah MiG-29A/UB.

Pada tahun 2004, Poland telah menerima 22 buah MiG-29 dari Tentera Udara Jerman.

Bulgaria dan Slovakia merupakan antara negara anggota NATO yang lain mengoperasikan pesawat ini.

MiG-29 merupakan jet pejuang enjin berkembar yang dihasilkan oleh Mikoyan. Pesawat ini direka sebagai pesawat pemintas. Sesuai dengan peredaran semasa, jet pejuang ini ditingkat upaya bagi melaksanakan misi menggempur sasaran permukaan.

Terdahulu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy mengemukakan rayuan untuk mendapatkan bantuan jet pejuang dari negara anggota NATO.  – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply