JOHOR BAHRU, 7 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik kedai telefon di kawasan Larkin, pada Khamis.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan yang dilakukan, pihak polis telah menahan seramai 2 lelaki warga tempatan berusia 31 hingga 34 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM746,890.
“Modus operandi sindiket yang beroperasi sejak November lalu adalah dengan menjadikan kedai telefon bimbit itu sebagai stor penyimpanan dadah untuk pasaran tempatan.
“Dengan tumpasnya sindiket ini, polis merampas dadah sebanyak 1.7 kg pil ekstasi, 1.35 kg ketamin dan 7 kg pil eramin 5 dengan jumlah keseluruhan RM746,890,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.
Tambahnya lagi, polis turut menyita 2 buah kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM37,900 serta matawang Singapura berjumlah RM16,340.
Beliau turut berkata, semakan kedua-dua suspek mendapati mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kita masih mengesan saki baki ahli sindiket tersebut selain memperoleh maklumat dari mana mereka mendapatkan bekalan dadah sama ada dari dalam atau luar negara,
“Kesemua suspek telah direman selama 6 hari bermula tarikh tangkapan hingga Rabu ini bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya – airtimes.my