KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan sebanyak 33,209 jangkitan baharu COVID-19 semalam, sekaligus mencatatkan kes tertinggi sejak pandemik itu dilaporkan di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan, penambahan jangkitan itu sekaligus menjadi jumlah kumulatif jangkitan wabak berkenaan di negara ini meningkat kepada 3,561,766 kes.
Beliau berkata, jumlah yang direkodkan itu membabitkan 32,768 kes tempatan dengan 441 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Daripada 33,209 kes harian, sebanyak 20,071 kes adalah pesakit COVID-19 dalam kategori dua manakala 12,935 kes adalah pesakit kategori satu,
“Selebihnya bagi kategori 3 terdapat 98 kes (0.30 peratus), kategori 4 dengan 52 kes (0.15 peratus) serta bagi kategori 5 adalah seramai 53 kes (0.16 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dr Noor Hisham berkata, seramai 348 kes memerlukan rawatan di ICU iaitu 138 kes disahkan COVID-19; 210 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan manakala 211 kes memerlukan bantuan pernafasan (80 kes disahkan COVID-19; 131 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).
“Daripada jumlah keseluruhan 203 kes bagi pesakit kategori 3 hingga 5, 43 kes atau 21.18 peratus belum divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan manakala 117 kes sudah menerima 2 suntikan vaksin tanpa dos penggalak,
“Manakala, sebanyak 43 kes sudah menerima dos penggalak, berumur 60 tahun ke atas (119 kes), mempunyai komorbid (67 kes) dan ibu mengandung (satu kes),” ujarnya. – airtimes.my