Home Semasa PRN Johor: 36,729 kertas undi pos dikeluarkan

PRN Johor: 36,729 kertas undi pos dikeluarkan

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 4 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada mereka yang berhak dan layak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 1 hingga 3 Mac dijalankan petugas pilihan raya di semua 56 kawasan DUN.

“Kesemua 36,729 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 28,421 kategori Borang 1A melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media,

“Ini termasuk 7,814 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 118 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dan 376 engundi tidak hadir (PTH) di luar negara,

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ikmalrudin menjelaskan, prosedur itu dijalankan mengikut peruntukan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU Dewan Negeri Johor Ke-15.

Dalam kenyataan yang sama, beliau mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2).

“Pengundi diingatkan agar segera mengembalikan kertas undi kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum pukul 5 petang iaitu pada hari mengundi iaitu 12 Mac ini,

“Mereka juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya dalam laman media sosial,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply