Home Semasa Penggunaan katil ICU di Putrajaya meningkat 83 peratus

Penggunaan katil ICU di Putrajaya meningkat 83 peratus

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Peratusan penggunaan kapasiti katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 di hospital sekitar Putrajaya mencatatkan peningkatan sehingga 83 peratus semalam, sekali gus tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia diikuti oleh Kelantan (60 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus), Selangor (57 peratus), Johor (57 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus).

“Bagi katil bukan ICU, 12 negeri melebihi peratusan pengisian 50 peratus iaitu Selangor (111 peratus) diikuti oleh Perak (105 peratus), Perlis (98 peratus), Kuala Lumpur (91 peratus) dan Putrajaya (88 peratus),

“Seterusnya ialah Kelantan (74 peratus), Pahang (73 peratus), Johor (66 peratus), Terengganu (65 peratus), Perlis (63 peratus), Sarawak (62 peratus) dan Sabah (55 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, katil Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) pula hanya satu negeri iaitu Melaka menunjukkan peratusan melebihi 50 peratus iaitu 58 peratus.

“Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 204 pesakit dan peratusan penggunaan ventilator COVID-19 ialah 24 peratus,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut menyatakan, sebanyak 32,467 kes baharu COVID-19 direkodkan semalam sekaligus menjadikan jumlah kumulatif wabak tersebut meningkat kepada 3,528,557 kes.

Menurutnya, daripada kes tersebut, sebanyak 32,054 jangkitan merupakan kes tempatan dan selebihnya kes import.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 355 kes (145 kes disahkan COVID-19; 210 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan),

“Manakala, sebanyak 208 kes memerlukan bantuan pernafasan di mana, 82 kes disahkan COVID-19, 126 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply