Home Pertahanan dan Keselamatan Cuba sogok anggota PGA, tekong bawa 47 warga asing ditahan

Cuba sogok anggota PGA, tekong bawa 47 warga asing ditahan

by Nurulhuda

KALABAKAN, 4 Mac – Tindakan seorang lelaki dipercayai tekong yang membawa 47 orang warga asing ditahan selepas cuba memberi sogokan kepada petugas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Kalabakan, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, lelaki berusia 52 tahun tersebut dikatakan cuba memberikan wang sebanyak RM1,650 dipercayai sebagai dorongan untuk pihak berkuasa melepaskan mereka.

Bagaimanapun, selepas beberapa amaran diberikan, lelaki warga tempatan itu ditahan anggota Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau dan RELA untuk tindakan lanjut.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superitenden Mohd Yacob Murad berkata, tangkapan berkenaan membabit 53 individu berumur 2 hingga 80 tahun.

Beliau berakta, hasil pemeriksaan mendapati seramai 26 individu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, 21 lagi memiliki passport manakala 6 mempunyai kad pengenalan warganegara Malaysia.

“Hasil soal siasat, semua suspek dipercayai bergerak dari Kuala Penyu menghala ke Tawau melalui jalan Sapulut-Kalabakan,

“Semua warga asing terbabit dipercayai mahu pulang ke negara asal selepas kontrak pekerja di sebuah ladang getah di negeri ini tamat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Yacob menjelaskan, semua individu terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, pasukan keselamatan turut merampas wang tunai dan 7 kenderaan yang dianggarkan berjumlah RM487.650.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,

“Selain itu, turut disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply