Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Pengorbanan, perjuangan Tentera Darat tidak ternilai harganya – Ismail Sabri

Pengorbanan, perjuangan Tentera Darat tidak ternilai harganya – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) terus komited melaksanakan tugas demi mempertahankan kedaulatan negara.

Bersempena Hari Tentera Darat ke-89 yang disambut semalam, Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan atas pergorbanan, perjuangan dan khidmat bakti yang dicurahkan oleh warga TDM.

Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook rasminya berkata, peranan dimainkan anggota TDM termasuk ketika pandemik COVID-19 serta bencana banjir merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya.

“Di perbatasan yang penuh cabaran, Tentera Darat mempertaruhkan nyawa dan air mata. Berbekalkan semangat yang tinggi dan ikhlas, mereka berjuang mempertahankan kedaulatan tanah air,

“Saya menjadi saksi bahawa Tentera Darat menjadi sandaran rakyat sebagai tempat titipnya sebuah pengharapan apabila warga Tentera Darat juga membantu mangsa banjir di seluruh negara,

“Di bawah panas terik jua, mereka cekal membersih, membaiki semula rumah, membina jambatan, dan merawat Keluarga Malaysia yang ditimpa kesakitan melalui Hospital Medan,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) turut menegaskan, jasa dan pengorbanan anggota Tentera Darat dalam membantu negara tidak seharusnya dilupakan.

“Terima kasih Tentera Darat. Selamat menyambut Hari Tentera Darat Ke-89 kepada seluruh warga TDM,” ujar Ismail Sabri.

Sambutan Hari Tentera Darat ke-89 dengan tema ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ tahun ini berlangsung secara fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat di Kem Segenting di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Selasa.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply