KOTA KINABALU, 1 Mac – Kapal Diraja (KD) GANAS telah menabur bakti bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 49 tahun bagi menjaga kedaulatan negara dan membelah samudera.
TLDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, semalam telah diadakan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ke-49 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.
“Menyingkap sejarah pembinaan dan pentauliahan KD GANAS, kapal ini dibina di Cherbourgh, Perancis serta telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 28 Feb 1973,
“Kemasukan KD GANAS ke dalam inventori telah menjadikan TLDM antara agensi yang digeruni di Asia Tenggara,” katanya.
Menurut TLDM, kapal ini telah melalui pelbagai fasa transformasi sehingga ke hari ini.
“Sesuai konsep operasi Hit and Run, KD GANAS yang pada awalnya merupakan sebuah kapal Pembinasa Laju (Misil) kelas PERDANA kini telah diserapkan sebagai salah sebuah kapal di dalam Skuadron Kapal Ronda Laju Ke-6 bersama 7 lagi kapal yang lain iaitu KD TODAK, KD SERANG, KD JERONG, KD PAUS, KD PARI, KD BAUNG dan KD YU,
“KD GANAS dan KD SERANG kini berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu manakala kapal lain skuadron ini berpangkalan di Pangkalan TLDM Sandakan,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun KD GANAS menghampiri usia emas namun kapal diperakui masih mampu membelah samudera dengan kelajuan melebihi 32 knot pada tempoh masa yang lama hasil kejayaan Projek Repowering yang dilaksanakan pada 2019.
Pegawai Memerintah KD GANAS, Komander Muhammad Hafiz Othman TLDM dalam ucapannya menyatakan kematangan dan kesiagaan KD GANAS sepanjang tempoh 49 tahun ditugaskan sebagai aset barisan hadapan TLDM bukanlah sesuatu yang mudah dicapai.
“Sesungguhnya ia menuntut pengorbanan, kecekalan serta sikap profesionalisme warga kapal dalam memastikan kesiagaan kapal kekal terpelihara pada tahap yang tertinggi,
“Bagi mendepani cabaran semasa dan akan datang, beliau menyeru semua peringkat warga agar terus memberikan komitmen serta mempamerkan sikap yang positif bagi memastikan kesiagaan kapal dan warga sentiasa berada pada tahap tertinggi,” jelasnya. – airtimes.my