Home Semasa PRN Johor: SPR harap penamaan calon Sabtu ini berjalan lancar

PRN Johor: SPR harap penamaan calon Sabtu ini berjalan lancar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 18 Februari lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalruddin Ishak menjelaskan, SOP tersebut adalah selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Menurutnya, SOP Khas Pilihan Raya ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses penjalanan pilihan raya termasuklah, proses cetakan dan semakan kertas undi dan pengeluaran serta pengiraan kertas undi pos.

“Selain itu, SOP yang ketat juga akan dilaksanakan semasa semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi,

“Segala maklumat lanjut SOP berkenaan boleh diperolehi di portal spr.gov.my,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

Ikmalruddin menjelaskan, SPR berharap agar proses penamaan calon kelak berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Hari Penamaan Calon,” ujarnya.

Tegasnya, bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRN Johor, agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum Hari Penamaan Calon.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti bayaran. Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,

“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon,” kata Ikmalrudin.

Tambhanya, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC). Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan sama sekali melakukan sebarang aktiviti berkumpul dan berarak di manamana tempat atau PPC sepanjang Hari Penamaan.

SPR telah menetapkan tarikh penundian PRN Johor pada 12 Mac 2022 selepas Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor, berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN pada 22 Januari lalu.

Hari Penamaan Calon pula ditetapkan pada 26 Februari ini (Sabtu). Kertas penamaan calon boleh dikemukan bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 10.00 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 56 PPC. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply