Home Pertahanan dan Keselamatan TUDM pegang rekod jam penerbangan tertinggi helikopter H225M di Asia

TUDM pegang rekod jam penerbangan tertinggi helikopter H225M di Asia

by M.Daim

KUANTAN, 23 Feb –Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mencipta sejarah sebagai pemegang rekod jam penerbangan helikopter H225M (EC725AP) di Asia.

Pihak Airbus dalam satu kenyataan berkata, kesemua 12 unit H225M TUDM telah mencapai rekod jam penerbangan keseluruhan lebih dari 20,000 jam penerbangan.

“Fleet H225M TUDM telah beroperasi semenjak tahun 2012. Ia direka untuk melaksanakan misi yang pelbagai serta mencabar,

“H225M yang dioperasikan oleh TUDM terlibat dalam pelbagai misi latihan dan kemanusiaan, termasuk operasi penyelamatan semasa banjir dan operasi menyelamatkan nyawa,” katanya.

Satu majlis telah diadakan di Pangkalan Udara Kuantan bagi meraikan pencapaian ini.

Vincent Dubrule, Ketua Serantau bagi Airbus Helicopters Asia Pasifik telah menyampaikan anugerah kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM bagi meraikan dan memperingati pencapaian penuh bersejarah ini.

Majlis ini turut dihadiri Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Gerard Pau, Pengarah Urusan, Airbus Helicopters Malaysia merangkap Ketua Pegawai Operasi, Airbus Helicopters Asia Pasifik; serta  Raymond Lim, Wakil Ketua Negara Airbus di Malaysia.

Dalam majlis ini juga, juruterbang helikopter H225M TUDM yang  telah mencapai sejumlah 2,000, 1,500, 1,000 dan 500 jam penerbangan telah diberikan anugerah pencapaian jam penerbangan.

“H225M merupakan aset tempur pelbagai fungsi dan serba boleh yang terbukti keupayaannya,” kata Airbus.

Pada ketika ini, sebanyak 125 helikopter H225M berada dalam perkhidmatan di seluruh dunia.

Selain Malaysia, negara Brazil, Perancis, Indonesia, Mexico, Kuwait, Singapura dan Thailand juga bergantung kepada keupayaan helikopter H225M untuk menyokong dan melaksanakan misi mereka yang paling mencabar. – airtimes.my

Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali. Awas! Memberi kredit tidak bermakna anda terselamat dari sebarang tindakan sekiranya TIADA KEBENARAN diberikan. Sila hubungi pihak Air Times untuk maklumat lanjut. Terima kasih.

Related Articles

Leave a Reply