Home Pertahanan dan Keselamatan 6 helikopter MD530G Tentera Darat Malaysia selamat tiba ke tanah air

6 helikopter MD530G Tentera Darat Malaysia selamat tiba ke tanah air

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 22 Feb – 6 buah helikopter MD530G milik Pasukan Udara Tentera Darat telah pun selamat tiba di Malaysia.

Ketibaan kesemua aset Tentera Darat Malaysia tersebut telah tiba di negara ini melalui jalan laut pada hujung minggu lalu.

Menurut sumber, keenam-enam kontena yang mengandungi MD530G telah pun dikeluarkan dari kawasan pelabuhan dan ditempatkan di sebuah hangar milik syarikat tempatan.

“Kesemua helikopter tersebut telah dibawa dari sebuah pelabuhan di pantai barat Amerika Syarikat dengan menggunakan sebuah kapal kontena,

“Pelayaran tersebut berjalan selama 5 minggu sebelum tiba di Malaysia,” katanya kepada Air Times.

Sementara itu, sumber dari Kementerian Pertahanan Malaysia mengesahkan Majlis Penyerahan MD530G akan diadakan pada minggu hadapan.

“Pelancaran mungkin akan dijalankan sebelum sambutan Hari Tentera Darat Malaysia,” katanya.

Tentera Darat Malaysia akan menyambut Hari Ulang Tahun ke-89 pada 1 Mac nanti.

MD530G telah diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Malaysia pada Januari lalu.

Ketibaan kesemua 6 helikopter MD530G ini akhirnya menutup persoalan sama ada aset tersebut berjaya atau gagal.

Pada 14 Januari lalu, syarikat MD Helicopters, Inc. (MDHI) mengesahkan kesemua MD530G telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia melalui firma Halaman Optima/ Destini Prima.

MDHI mengesahkan seramai 8 juruterbang dan 9 mekanik dari Tentera Darat Malaysia telah selesai menjalani latihan di Texas.

Perolehan MD530G menjadi tumpuan umum berikutan kelewatan penerimaan aset tersebut dari AS.

Pembelian kesemua pesawat terbabit adalah bernilai RM300juta pada tahun 2015 dan sepatutnya diterima pada sekitar 2017-2018.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=XfosjvDqU3U[/embedyt]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 2 individu terlibat dalam perolehan MD530G pada 21 Jun 2019. Penahanan dibuat selepas Kementerian Pertahanan Malaysia membuat laporan kepada SPRM berhubung isu pembelian helikopter tersebut.

Kementerian Pertahanan sebelum ini menyatakan perolehan MD530G mengalami kelewatan berikutan isu teknikal.

“Semasa proses pembinaan helikopter tersebut, kerajaan telah mengkaji semula kesesuaian alatan serta spesifikasi dan mendapati pindaan serta perubahan perlu dibuat agar helikopter yang diterima memenuhi keperluan agensi,

“Berdasarkan kepada kontrak asal, syarikat telah gagal mematuhi obligasi utamanya iaitu menghantar enam buah helikopter,” kata pihak Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pada 1 November 2019.

Kesemua 6 helikopter MD530G akan digunakan bagi perkukuh tahap keselamatan Pantai Timur Sabah.

 

Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu turut menyatakan pihaknya akan menyerahkan isu terbabit kepada Jemaah Menteri sama untuk meneruskan atau membatalkan perolehan MD530G.

Jemaah Menteri telah memutuskan perolehan keenam-enam helikopter terbabit diteruskan.

Pada lewat tahun 2020, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan 3 daripada 6 buah helikopter telah siap.

Selain daripada itu, Ismail Sabri menyatakan rancangan untuk menghantar pegawai tentera ke AS pada ketika itu tergendala berikutan wabak COVID-19 melanda dunia. Pada masa yang sama, AS merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat wabak itu.

Beliau turut menjelaskan uji nilai helikopter tersebut dibuat sama ada ianya sesuai untuk dijadikan sebagai sebahagian aset Angkatan Tentera Malaysia atau sebaliknya.

Pada pertengahan tahun 2021, uji pandu MD530G sedang giat dijalankan di Texas berdasarkan video yang disiarkan di media sosial.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Ye9rUw9Ds50[/embedyt]

MD530G keluaran MDHI merupakan konfigurasi helikopter tempur ringan terkini yang berasaskan model rangka pesawat 500/530.

Menurut MDHI, model yang dibekalkan kepada Malaysia dilengkapi dengan sensor Wescam L3 MX10D dan sistem pengurusan senjata Pathfinder Ares Weapons Management System dari Tek Fusion.

Ia dilengkapi dengan Dillion M134 Mini Gun, mesingan FN Herstal, pod mesingan dan roket.

Pada November 2016, Halaman Optima telah menandatangani kontrak pembekalan enam buah helikopter MD530G bernilai RM 321.9 juta. Pada Februari 2017, Destini Prima telah mengambil alih syarikat pembekal melalui pembelian saham sebanyak 70%.

Dalam Perutusan Tahun Baharu 2022, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan kesemua helikopter tersebut akan dimanfaat untuk menjaga keselamatan Pantai Timur Sabah. – airtimes.my

Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali. Awas! Memberi kredit tidak bermakna anda terselamat dari sebarang tindakan sekiranya TIADA KEBENARAN diberikan. Sila hubungi pihak Air Times untuk maklumat lanjut. Terima kasih.

Related Articles

Leave a Reply