Home Semasa COVID-19: 27,808 jangkitan baharu, 235 kes ICU

COVID-19: 27,808 jangkitan baharu, 235 kes ICU

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 27,808 kes baharu COVID-19 pada Jumaat, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif akibat wabak itu meningkat kepada 3,166,023 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 27,808 kes harian yang dilaporkan semalam, sebanyak 103 kes atau 0.37 peratus adalah kategori 3 hingga 5.

Manakala, sebanyak 27,705 kes atau 99.63 peratus lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Beliau menjelaskan, daripada 103 kes bagi pesakit kategori 3 hingga 5 yang dilaporkan, 43 kes (41.75 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi.

“Sebanyak 41 kes (39.81 peratus) pula sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, manakala 19 kes (18.45 peratus) telah menerima dos penggalak,

“Selain itu, 50 kes berumur 60 tahun ke atas, 44 kes mempunyai komorbid, 1 kes ibu mengandung dan 16 kes yang telah meninggal dunia termasuk sembilan kes brought-in-dead (BID),” jelasnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Noor Hisham turut menjelaskan, kapasiti penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Johor, Perlis dan Kuala Lumpur didapati telah melebihi 50 peratus susulan peningkatan mendadak kes harian positif COVID-19.

“Bagi pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di ICU meningkat kepada 235 kes berbanding 216 kes pada Khamis,

“Pengisian katil bukan ICU untuk kes COVID-19 turut melebihi 50 peratus membabitkan hospital di lapan negeri iaitu di Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” tambahnya.

Menurutnya, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di sembilan negeri iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Sabah, Pulau Pinang, Perlis dan Melaka juga mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus.

“Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 132 pesakit dan peratusan penggunaannya sebanyak 36 peratus,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 12,488 jumlah kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,900,682 kes dan merekodkan 16 kluster baharu akibat wabak berkenaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply