Home Semasa Saya bukan buat keputusan sendiri – Muhyiddin

Saya bukan buat keputusan sendiri – Muhyiddin

by Nurulhuda

PONTIAN, 18 Feb – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pembukaan semula sempadan negara adalah hasil persetujuan bersama dan bukannya keputusan sendiri.

Beliau berkata, cadangan tersebut telah dipersetujui secara bersama oleh ahli-ahli majlis berkenaan dalam mesyuarat MPN yang dipengerusikannya, baru-baru ini.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menjelaskan, pembukaan sempadan itu amat penting bagi merancakkan kembali ekonomi negara terutamanya sektor perniagaan dan pelancongan.

Justeru, beliau berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan majlis itu untuk membuka semula sempadan negara seawal 1 Mac ini.

“Please (tolong) PM (Perdana Menteri), MPN sudah cadang dan saya bukan buat keputusan pandai-pandai. Dalam mesyuarat ada Menteri Kesihatan, (ditanya) kena kuarantin wajib, beliau kata tak payah, ada Jabatan Imigresen Malaysia, (ditanya) bila boleh buka, boleh buka 1 Mac,

“Maka, saya buat keputusan, bukan saya punya keputusan, tetapi atas nama MPN supaya kerajaan boleh ambil tindakan segera buka sempadan,

“Dengan kehadiran virus Omircon, bukan tak bahaya, tetapi kita kena atasinya. Dan kita juga kena tingkatkan ekonomi nefara,” katanya ketika berucap pada majlis Resepsi Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Gerakan yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ketua Penerangan PN.

Pada 8 Februari lalu, MPN mengesyorkan kepada kerajaan agar membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini, namun cadangan itu belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

Menurutnya, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Semalam, Mohamed Azmin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka mengemukakan cadangan mengenai pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat, sebelum memutuskan tarikh pembukaannya.
Azmin berkata, perkara itu sedang diteliti dan KKM sedang memantau situasi semasa mengenai penularan COVID-19.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply