Home Pertahanan dan Keselamatan Panglima Angkatan Tentera terima anugerah ketenteraan tertinggi Singapura

Panglima Angkatan Tentera terima anugerah ketenteraan tertinggi Singapura

by Air Times News Network

SINGAPURA, 17 Feb – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dikurniakan anugerah ketenteraan tertinggi Singapura, iaitu Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera), pada Rabu.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam hantaran di media sosialnya
berkata, anugerah tersebut telah disampaikan Presiden Singapura, Halimah Yacob bertempat di Istana Singapura, semalam.

“Penganugerahan ini adalah bagi mengiktiraf sumbangan besar Affendi dalam aspek pengukuhan hubungan diplomasi pertahanan antara ATM dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) terus berkembang dari masa ke masa,

“Menerusi kepelbagaian aktiviti latihan ketenteraan dua hala seperti Eksesais Malapura, Eksesais SEMANGAT BERSATU, dan Eksesais SAREX MALSING,

“Disamping beberapa perlaksanaan program lawatan peringkat tinggi, program tukaran pegawai dan penganjuran kursus kepakaran,” katanya.

Sebelum itu, Affendi telah menerima Kawalan Kehormatan Utama di Kementerian Pertahanan Singapura sebelum mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya Leftenan Jeneral Melvyn Ong.

Seterusnya Affendi membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen.

“Kunjungan ini adalah bertujuan untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Singapura di samping membincangkan kerjasama dalam mendepani cabaran keselamatan bersama di rantau ini,” jelasnya.

Affendi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana Singapura.

“Kunjungan hormat ini bagi mengesahkan lagi hubungan pertahanan yang kukuh serta melahirkan komitmen yang tinggi terhadap usaha dalam mempertingkatkan lagi kerjasama pertahanan dua hala,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Affendi turut mengunjungi beberapa booth pameran pertahanan yang diadakan bersempena Pertunjukan Udara Singapura 2022 yang berlangsung di Pusat Pameran Changi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply