Home Semasa Malaysia-Brunei secara dasar setuju laksana VTL – Ismail Sabri

Malaysia-Brunei secara dasar setuju laksana VTL – Ismail Sabri

by Bernama

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Malaysia dan Brunei secara dasar bersetuju untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat bagi pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara, kata Perdana Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan hari ini.

Cadangan juga dibuat bagi pelaksanaan empat penerbangan seminggu antara Brunei dan Malaysia apabila VTL dilaksanakan, katanya pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini yang bermula semalam.

Pada masa ini penerbangan antara Kuala Lumpur dan Bandar Seri Begawan hanya dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Jumaat kerana Brunei belum membuka sempadan negara itu berikutan pandemik COVID-19.

Ismail Sabri berkata bagi tujuan itu, kementerian-kementerian yang berkaitan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan inisiatif VTL tersebut.

“Saya minta menteri-menteri berkenaan untuk membincangkan perkara itu pada mesyuarat Kabinet esok agar ia dapat dilaksanakan segera… saya mahu ia disegerakan,” katanya.

Malaysia sebelum ini melaksanakan VTL dengan Singapura dan bersetuju untuk pelaksanaan inisiatif itu dengan Indonesia.

Perdana Menteri berkata selain itu, Sultan Brunei bersetuju pengiktirafan penggunaan MySejahtera dan BruHealth di kedua-dua negara bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat Malaysia dan Brunei.

Kerjasama itu juga penting bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan rakyat kedua-dua negara, katanya.

Ismail Sabri berkata dengan pengiktirafan itu, MySejahtera dan BruHealth boleh digunakan di kedua-dua negara semasa berada di Brunei dan Malaysia.

Ditanya mengenai pembukaan sempadan Malaysia, Perdana Menteri berkata: “Kita memang ada perancangan untuk buka sempadan (tetapi) 1 Mac mungkin terlalu cepat… mungkin selepas itu”.

Ismail Sabri berkata selain itu, perbincangan antara beliau dan Sultan Hassanal Bolkiah juga tertumpu kepada kerjasama pada era wabak Covid-19 dan pascapandemik.

Beliau berkata Malaysia telah menjemput kerajaan Brunei untuk sama-sama terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi penghasilan vaksin COVID-19 dan sebagai permulaan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) bersedia untuk bekerjasama dengan pakar-pakar dari Universiti Brunei Darussalam dalam penyelidikan ‘Antibody Response to COVID-19 Vaccines’.

Kerjasama ini akan disusuli secara terperinci oleh agensi-agensi berkaitan di Malaysia dan Brunei, katanya.

Perdana Menteri menyifatkan kunjungan beliau ke Brunei sebagai amat berjaya dan dapat menyelesaikan beberapa perkara yang sebelum ini tertangguh antaranya disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata lawatan itu menggambarkan pentingnya hubungan Malaysia dan Brunei bukan hanya sebagai jiran terdekat dan rakan dalam ASEAN, tetapi turut mempunyai hubungan istimewa yang panjang.

“Semasa pertemuan dengan Tuanku Baginda Seri Sultan, perbincangan tertumpu kepada usaha dan inisiatif bagi meningkatkan lagi hubungan istimewa ini ke satu tahap yang lebih tinggi dan komprehensif,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri menghadiri Majlis Minum Petang bersama diaspora Malaysia di Brunei yang dihadiri 120 rakyat Malaysia yang menetap di negara ini.

Terdapat kira-kira 25,000 rakyat Malaysia menetap di Brunei terdiri daripada golongan profesional, ahli perniagaan, penuntut dan yang bekerja di negara ini.

Berucap pada majlis itu, Ismail Sabri menceritakan perkembangan semasa di Malaysia antaranya situasi politik, bencana banjir yang dialami akhir tahun lepas dan langkah-langkah kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

Pada majlis itu Perdana Menteri menerima sumbangan RM50,000 daripada komuniti Malaysia di Brunei untuk mangsa-mangsa banjir di Malaysia.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply