Home Pertahanan dan Keselamatan 6 daripada 14 PATI Indonesia dicekup positif COVID-19

6 daripada 14 PATI Indonesia dicekup positif COVID-19

by Nurulhuda

BAGAN PASIR, 13 Feb – Seramai 6 orang daripada 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan di kawasan kebun kelapa sawit Kampung India Sungai Yu, Tanjung Karang, didapati positif COVID-19.

Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, kesemua PATI yang baru mendarat itu ditahan oleh anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu.

Penahanan itu adalah hasil maklumat dari orang awam berkaitan aktiviti pendaratan PATI di kawasan kampung tersebut.

“Ketika sedang membuat rondaan dan pemantauan sekitar kawasan tanggungjawab, anggota telah mengesan sekumpulan orang dipercayai warga Indonesia dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung India Sungai Yu, Tanjong Karang,

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka terdiri daripada 13 lelaki seorang wanita berusia 21 hingga 48 tahun. Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” kata hantaran itu.

Jelas hantaran itu, hasil siasatan yang dijalankan, kesemua PATI Indonesia tersebut mengaku baru tiba di Malaysia dengan menggunakan jalan yang tidak diwartakan (jalan laut).

Sementara itu, awal pagi tadi, 2 lagi PATI Indonesia berjaya diberkas hasil pemeriksaan di kawasan berdekatan.

Kesemua PATI dibawa ke Pos PGA Bagan Pasir untuk proses dokumentasi dan Balai Polis Tanjung Karang serta Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan selanjutnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply