Home Pertahanan dan Keselamatan APMM gagalkan cubaan seludup 1.2 tan daun ketum ke negera jiran

APMM gagalkan cubaan seludup 1.2 tan daun ketum ke negera jiran

by Nurulhuda

KUALA KEDAH, 11 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 1.2 tan daun ketum dianggarkan bernilai RM216 ribu di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah, semalam.

Pengarah APMM Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan yang telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas A dalam keadaan mencurigakan berada berhampiran muara Kuala Kedah.

“Sejurus menerima maklumat, bot ronda APMM telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan,

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri dengan terjun ke paya bakau lalu meloloskan diri,

“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit telah menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan lebih kurang 1.2 tan bernilai sekitar RM216 ribu,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Noor Azreyanti menjelaskan, daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM30 sahaja.

Tambahnya, semua hasil rampasan beserta bot nelayan tempatan kelas A dan enjin dianggarkan bernilai RM276 ribu itu dibawa ke jeti APMM Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih 4 tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply