KOTA KINABALU, 5 Feb – Polis Sabah mengesahkan tiada sebarang petunjuk berhubung dakwaan sekumpulan lelaki berpakaian celoreng ala tentera dan bersenjata yang menyusup masuk ke Lahad Datu melalui perairan Long Patau, Tambisan, Jumaat lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Komisioner Polis Datuk Idris Abdullah berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah menjalankan risikan dan siasatan berkenaan dakwaan terbabit, namun mendapati tiada sebarang petunjuk.
“PDRM dan lain-lain pasukan keselamatan sentiasa memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan di pantai timur negeri ini dan Sabah keseluruhannya daripada sebarang ancaman luar,
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak risau mengenai tahap keselamatan di Sabah,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Terdahulu, seorang lelaki telah mendakwa melihat lebih 10 lelaki warga asing dipercayai warganegara Filipina dalam keadaan mencurigakan berpakaian ala tentera dan bersenjata serta bertutur dalam bahasa suluk masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan. – airtimes.my