LANGKAWI, 4 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 6 lelaki tempatan dan merampas dadah heroin seberat 234 gram serta 11.90 gram syabu dengan anggaran nilai RM10,894 di Kampung Padang Gaong, Langkawi, awal pagi tadi.
Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, hasil serbuan ke atas rumah tersebut telah menahan seramai 6 lelaki warga tempatan berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun.
“Pemeriksaan secara menyeluruh ke atas rumah berkenaan telah menjumpai dadah disyaki heroin seberat 234 gram dan 11.90 gram syabu anggaran nilai RM10,894,
“Hasil ujian saringan air kencing kesemua suspek didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan.
Shariman turut menjelaskan, kesemua suspek telah direman selama 7 hari bermula 4 hingga 11 Februari ini bagi siasatan lanjut di bawah Sek 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Sek 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – airtimes.my