Home Pertahanan dan Keselamatan APMM patahkan cubaan seludup masuk ganja bernilai RM150 ribu

APMM patahkan cubaan seludup masuk ganja bernilai RM150 ribu

by Air Times News Network

KUALA PERLIS, 4 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan seludup masuk dadah jenis ganja dari Thailand ke Malaysia dianggarkan bernilai RM150,000 di kedudukan 2.26 batu nautika barat laut muara Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, dalam kejadian pada 1.42 pagi, bot peronda APMM telah mengesan pergerakan sebuah bot fiber bergerak masuk ke perairan Kuala Perlis dari arah Thailand dalam keadaan gelap dan mencurigakan.

“APMM mengatur gerak aset laut beserta pasukan operasi ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot berkenaan,

“Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia di lokasi, 2 suspek bertindak membuang satu bungkusan plastik berwarna hitam ke laut yang dipercayai mengandungi ganja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek turut menukar haluan dengan berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand bagi melarikan diri.

Tambahnya lagi, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam yang dibuang telah menemukan bungkusan guni plastik berwarna merah dipercayai mengandungi 30 ketulan ganja mampat seberat 30 kilogram dan dianggarkan bernilai RM150,000.

“Kesemua ketulan ganja mampat dengan anggaran berat sekilogram setiap satu itu diikat dalam bentuk segi empat dan dibalut kemas dengan plastik putih,

“Semua hasil rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply