KUALA LUMPUR, 3 Feb – Pemuda UMNO Malaysia menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mempertimbangkan semula penguatkuasaan caj RM1 bagi setiap pengeluaran wang tunai antara bank (MEPS) di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bermula 1 Februari lalu.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di media sosialnya berkata, tindakan ini dilihat sebagai tidak prihatin kepada keadaan semasa rakyat yang masih bergelut dengan kekurangan tunai.
“Peluang pekerjaan yang rendah serta harga barangan keperluan asas yang berterusan mencanak naik,
“Malahan tinjuan ekonomi bagi tahun 2022 juga menjangkakan prospek pemulihan ekonomi yang lembab bakal meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat,
“Sudahlah moratarium pinjaman bank mulai berakhir, manakala sehingga hari ini #TuntutanRakyat untuk pengeluaran kali terakhir RM10 ribu wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka juga masih dipandang sepi oleh kerajaan,” katanya.
Tambahnya, bagi memastikan konsep dan falsafah Keluarga Malaysia ini dirasai oleh rakyat kebanyakkan, adalah perlu bagi kerajaan untuk meneruskan pengecualian caj RM1 ini untuk sekurang-kurang 1 tahun lagi.
“Pergerakan Pemuda UMNO tidak melihat ada sebarang masalah bagi bank-bank utama tempatan untuk menyerap caj RM1 berkenaan demi rakyat kerana semakan keuntungan terkumpul bagi tahun 2021 sehingga 30 September 2021 (9M/2021) mencecah puluhan billion ringgit,” ujarnya.
Asyraf turut menyenaraikan keuntungan terkumpul bank di Malaysia iaitu Maybank sebanyak RM6.04 billion; Public Bank (RM4.28 billion); CIMB (RM3.44 billion); Hong Leong Bank (RM2.17 billion) dan RHB (RM1.99 billion).
Manakala AMMB pula sebanyak RM707.64 juta; Bank Islam (RM454.67 juta); Affin Bank (RM320.09 juta) dan Alliance Bank (RM315.75 juta).
Menurut Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO sekali lagi mendesak agar Tengku Zafrul untuk lebih berpihak kepada rakyat yang sedang susah dan gelisah dengan memenuhi tuntutan mereka termasuklah menarik balik keputusan untuk mengenakan caj pengeluaran ini. – airtimes.my