Home PolitikBarisan Nasional Desakan pengeluaran wang KWSP tidak ada kaitan dengan politik – Ahmad Zahid

Desakan pengeluaran wang KWSP tidak ada kaitan dengan politik – Ahmad Zahid

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, desakan partinya berhubung pengeluaran ‘one-off’ wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM 10,000 tiada kaitan dengan isu politik.

Beliau berkata, desakan berkenaan adalah demi kepentingan rakyat yang masih dalam kesusahan akibat terkesan dengan pandemik COVID-19,

“Barangkali mereka yang membantah permintaan rakyat itu yang beragendakan politik kerana khuatir kebenaran pengeluaran wang KWSP boleh memberi merit kepada parti UMNO dan sebilangan kepimpinannya,

“Nasihat saya kepada mereka, tidak semua perkara perlu dilihat dalam konteks politik,

“Perkara melibatkan isu yang merakyat seharusnya didokong oleh semua. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya dalam hantaran di media sosialnya pada Isnin.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat masih terus berharap agar mereka dibenarkan mengeluarkan sedikit lagi wang daripada akaun KWSP untuk digunakan pada waktu sukar ketika ini.

“Sebab itu rakyat kesal apabila pembangkang dalam sidang Parlimen baru-baru ini menyokong Menteri Kewangan tidak membenarkan rakyat mengeluarkan wang KWSP mereka,

“Kini cuma rakyat dan parti UMNO yang masih bersama dalam perkara itu. Hanya tinggal rakyat dan parti UMNO memahami betapa terdesaknya sebahagian kita mahu mendapatkan wang tersebut bagi menampung keperluan diri dan keluarga,” ujarnya.

Katanya, rakyat jadikan apa yang disaksikan itu sebagai tauladan pada masa depan dan rakyat sudah tahu apa yang perlu dilakukan dalam membuat penentuan pada Pilihan Raya Negeri Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply