Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRN Johor: Belum ada rundingan kerusi, PAS nafi tolak tawaran dari UMNO

PRN Johor: Belum ada rundingan kerusi, PAS nafi tolak tawaran dari UMNO

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 27 Jan – PAS Johor menegaskan bahawa setakat ini belum ada perundingan atau perbincangan bersama UMNO mengenai pengagihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Abdullah Husin berkata, setakat ini juga tiada perbincangan mengenai pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), apa lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebagai rakan dalam Muafakat Nasional (MN), PAS Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuhkan pemuafakatan ini,

“PAS Johor menyeru dan berharap apa jua isu berbangkit dapat diperbincangkan secara ukhuwah melalui perundingan agar hubungan yang terbina akan terus terjaga,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video yang tular di mana Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad yang mempersoalkan kejujuran PAS dalam MN apabila menolak tawaran 4 kerusi daripada UMNO dan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada BERSATU.

Menurut Abdullah, pendekatan ini penting bagi mengelakkan salah faham di samping ianya dapat mengelakkan andaian dan laporan yang mengelirukan di media sosial.

“PAS Johor juga menafikan keterlibatan dengan menyokong calon Berjasa dalam PRK Tanjung Piai bahkan jentera PAS Johor digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA pada ketika itu,

“Justeru, PAS Johor sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memperkukuh pemuafakatan ini demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply