Home Semasa Pengudaraan kurang memuaskan punca kes COVID-19 sektor pendidikan meningkat

Pengudaraan kurang memuaskan punca kes COVID-19 sektor pendidikan meningkat

by M.Daim

PUTRAJAYA, 27 Jan – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menyatakan pengudaraan kurang memuaskan di kelas dan asrama sekolah merupakan antara punca kenaikan kes COVID-19 dalam sektor pendidikan.

Menurutnya, ini berdasarkan siasatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan di institusi pendidikan.

Antara faktor lain adalah ketidakpatuhan SOP warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama.

“Selain daripada itu, punca kes murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin,

“Malah, faktor individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas menjadi punca kes kian meningkat,

“Ruangan tumpuan ramai pula tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala,” kata KKM dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.

Menurutnya, sehingga tengah hari 25 Januari, sebanyak 107 kluster COVID-19 dalam kategori pendidikan yang telah melibatkan 4,633 kes.

“Peningkatan ketara dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan pada tahun 2022 berbanding sesi persekolahan pada tahun 2021,

“Pada Minggu Epidemiologi (ME) 1 tahun 2022, hanya terdapat tiga (3) kluster pendidikan direkodkan,

“Namun kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah pada ME ke-2 di mana 15 kluster telah direkodkan dan peningkatan sebanyak 313% pada ME ke-3,

“Pada ME ke-4, sehingga 25 Januari 2022, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan telah dilaporkan,” jelasnya.

Dari 107 kluster yang dilaporkan, institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply