Home Semasa Tiada sekatan pergerakan rakyat, hanya sempadan negara ditutup – Perdana Menteri

Tiada sekatan pergerakan rakyat, hanya sempadan negara ditutup – Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Kerajaan mengulangi pendirian untuk tidak melaksanakan sekatan terhadap pergerakan rakyat dan sektor ekonomi dalam mengawal penularan COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah terus mengurangkan kes pandemik dan pada masa yang sama memulihkan ekonomi negara.

“Dua hari lalu, kerajaan sudah mengumumkan bahawa kita tidak membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat pergerakan rakyat. Tiada istilah menyekat pergerakan dari daerah ke daerah dan negeri ke negeri lain,

“Cuma, kita masih menutup sempadan negara. Ini kerana kes di negara luar masih tinggi. Justeru, kita berhati-hati walaupun sudah memulakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan Singapura,

“Kita juga sedang membincangkan VTL dengan Indonesia dan sepatutnya ke Thailand tetapi kes meningkat maka kita menggantung pergerakan ke luar negara ini dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra, hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun sesetengah negara sudah mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelancong ke negara mereka, kerajaan masih mempertimbangkannya dan mungkin akan mengambil langkah sama.

“Kita lihat kalau dua dos sudah pun selesai, booster (dos penggalak) pun selesai, saya percaya kita boleh memberikan sedikit lagi kelonggaran dan ini terpulanglah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan pandangan,

“Kita lihat kesannya kalau kerajaan terlalu keras, kesannya kepada industri pelancongan dan selepas diberikan booster, mungkin kita boleh relax sikit daripada segi SOP, tetapi masih memerlukan pandangan KKM,” tambahnya.

Menurutnya, pelbagai khabar angin disebarkan di media sosial mengenai umat Islam tidak boleh pulang ke kampung untuk berhari raya.

“Saya memang sengaja sebut kita akan buka dan kita tidak akan tutup lagi dan kawal pergerakan sebab sudah ada dalam media sosial khabar angin mengatakan hari raya tidak boleh balik kampung,

“Disebabkan itu 2 hari lalu saya umumkan tidak akan tutup dan rakyat boleh balik kampung untuk sambutan Aidilfitri,” katanya.-airtimes.my

Caption: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan tidak akan melaksanakan sekatan terhadap pergerakan rakyat dan sektor ekonomi dalam mengawal penularan COVID-19.

#AirTimes #PKP #COVID19 #semasa

Related Articles

Leave a Reply