Home Pertahanan dan Keselamatan 236 warga ATM terjejas banjir sekitar Lembah Klang terima bantuan barangan elektrik

236 warga ATM terjejas banjir sekitar Lembah Klang terima bantuan barangan elektrik

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Seramai 236 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lembah Klang akan menerima sumbangan bantuan barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka yang terjejas banjir baru-baru ini.

Barangan keperluan ini akan disalurkan kepada 236 mangsa banjir warga ATM di sekitar Lembah Klang yang terdiri daripada 97 keluarga warga Tentera Darat Malaysia (TDM), 27 keluarga tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 58 keluarga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Penyerahan sumbangan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di Wisma Pertahanan, hari ini.

Markas ATM menjelaskan, bantuan ini yang merupakan inisiatif Panglima Angkatan Tentera dengan kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), bagi meringankan beban yang ditanggung oleh warga ATM akibat bencana itu.

“Sumbangan barangan elektrik tersebut berupa 500 unit peti sejuk, 550 unit cerek elektrik, 410 unit periuk nasi elektrik dan 400 unit dapur 2 burner ini juga merupakan antara barangan peralatan asas utama yang diperlukan,

“Selain itu, bantuan juga disumbangkan oleh Kerajaan United Arab Emirates (UAE) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM serta bantuan kewangan dari Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT),” jelas Markas ATM.

Majlis penyerahan sumbangan pada hari ini telah disampaikan secara simbolik oleh Panglima Angkatan Tentera kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan iaitu Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sani dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM.

Disamping itu, seramai 54 keluarga warga ATM yang bertugas di Markas ATM juga turut menerima sumbangan bantuan tersebut yang telah disampaikan kepada Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi.

Secara keseluruhan, seramai 1,207 warga ATM yang terjejas banjir telah direkodkan terdiri daripada 1,061 keluarga dan 146 anggota bujang. Sehingga kini, TKAT juga telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,134,000.00 kepada semua mereka yang terkesan akibat banjir.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply