Home Pertahanan dan Keselamatan Program LCS: Saya tidak takut untuk pertahankan keperluan TLDM – Hishammuddin

Program LCS: Saya tidak takut untuk pertahankan keperluan TLDM – Hishammuddin

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan beliau akan berusaha untuk memastikan program perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) akan terus dijalankan demi memenuhi keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa Majlis Amanat Tahun 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, hari ini.

“Program LCS menjadi keutamaan saya semasa kembali masuk ke Kementerian Pertahanan Malaysia,

“Selaras dengan Kertas Putih Pertahanan dan sejajar dengan pelan pembangunan 15-to-5 serta kepentingan TLDM – perancangan ke hadapan adalah menyediakan opsyen pelan pemulihan projek LCS,

“Selain daripada itu mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta membentangkan pelan pemulihan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,

“Kertas memorandum oleh Jemaah Menteri telah siap dan ada di meja saya pada pagi ini,” katanya.

Menurut Hishammuddin, beliau dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan Malaysia akan berjumpa dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan secara terperinci berkenaan program perolehan LCS.

“Saya tak takut apa asalkan apa yang kita lakukan adalah terbaik untuk TLDM. Ini kerana kita akan pertahankan dengan apa jua cara bagi memastikan janji dan keperluan TLDM dapat dipenuhi,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menyatakan perjumpaan dengan Menteri Pertahanan Perancis yang dijadualkan pada 23 Januari ini akan menyentuh isu LCS.

“Saya akan bawa perkara LCS dan minta kerjasama kerajaan Perancis untuk membantu dalam usaha memulih semula perancangan kita dalam pembinaan kapal ini,” katanya.

LCS merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan 15-to-5 TLDM yang bertujuan untuk memperkemaskan aset angkatan laut negara.

Kesemua 6 buah kapal yang dirancang adalah berasaskan rekaan Gowind oleh syarikat Perancis, Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS).

Semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada 15 November lalu, Hishammuddin mengesahkan program perolehan LCS mengalami kelewatan 43 bulan. Selain daripada itu, beliau menyatakan kapal pertama akan diterima pada tahun 2025. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply