Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan berusaha dapatkan Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia – Hishammuddin

Kementerian Pertahanan berusaha dapatkan Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia – Hishammuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang berusaha untuk mendapat Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi mengenang jasa dan pengorbanan veteran ATM.

Beliau berkata, perkara ini telah dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga turut menyuarakan sokongan.

“Biarpun belum ada keputusan muktamad mengenainya, namun penting untuk saya maklumkan bahawa perbincangannya mengenainya amat positif dan Perdana Menteri turut menyuarakan sokongan,” katanya semasa Majlis Amanat Tahun 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira ATM, hari ini.

Menurut Hishammuddin, agenda memperkasa veteran ATM adalah penting kerana mereka adalah golongan yang terlebih dahulu berjasa besar kepada negara.

“Malah, ada antara mereka yang terlibat dengan pertempuran sebenar sehingga terkorban atau mendapat kecacatan kekal,

“Saya sedar, ia tidak akan dapat ditukar ganti dengan apa jua balasan setimpal,

“Namun, saya tidak akan sesekali berdiam diri dan mensia-siakan veteran ATM begitu sahaja. Selagi saya Menteri Pertahanan, veteran ATM akan terus menjadi antara matlamat utama terutama dalam konteks kesejahteraan,” ujarnya.

Katanya, beliau telah mengarahkanTimbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz untuk melihat secara menyeluruh berhubung masalah, harapan dan keperluan veteran ATM di seluruh negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!