Home Pertahanan dan Keselamatan 12,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera akan dibina

12,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera akan dibina

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Sebanyak 12,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) baru bakal dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13 menerusi program Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien menjelaskan, bagi tahun 2022, dijangka 7 projek pembinaan RKMAT akan siap pada tahun 2022 meliputi 6 negeri iaitu Kedah (RKMAT Tok Jalai), Perlis (RKMAT Kem Oran), Kelantan (RKMAT Kem Tumbi), Johor (RKMAT Segamat), Sarawak (melibatkan 2 kem iaitu RKMAT Pakit dan RKMAT Miri) dan Pahang (RKMAT Kem Bera).

“Hari ini sukacitanya saya ingin maklumkan bahawa saya telahpun mengarahkan supaya Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan dilaksanakan,

“Saya percaya, selepas Blueprint Perumahan 1.0 dilancarkan pada tahun 2017 dan diikuti Blueprint Perumahan 2.0 pada tahun 2019, sudah tiba masanya pula Blueprint Perumahan 3.0 dimulakan pelaksanaannya,

“Dalam masa sebulan dua ini, kita akan adakan majlis pelancaran. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga bersetuju untuk bersama-sama Kementerian Pertahanan,” jelasnya dalam Majlis Amanat Tahun 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, hari ini.

Selain itu, Hishammuddin menjelaskan, program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) juga akan dibina pada tahun ini bagi memberi kemudahan anggota tentera memiliki rumah sendiri.

“3 lokasi telah dikenal pasti iaitu di Kem Transmitter Sungai Besi, Kem Wardieburn, Setapak dan Kem Genting Klang. Malah, projek SASaR di Kem Transmitter Sungai Besi telah bermula pada 1 Jun 2021 dan dijangka siap pada tahun 2025,” jelasnya.

Bagi veteran ATM pula, beliau berkata, sebanyak RM2.59 juta telah diperuntukkan bagi membaik pulih dan membina kira-kira 100 buah rumah veteran ATM menerusi Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM yang dahulunya dikenali sebagai 1Malaysia Veteran Home Repair Programme (1MVHRP) pada tahun ini.

“Dalam masa yang sama, pada tahun ini juga, sebanyak 275 Projek Jiwa Murni dijangka dilaksanakan di Semenanjung Malaysia yang turut akan memanfaatkan lebih ramai veteran ATM,

“Jesteru, pesan saya kepada seluruh anggota, warga awam Kementerian Pertahanan dan juga veteran ATM jangan bimbang, selagi saya Menteri Pertahanan, selagi itulah aspek kebajikan dan perumahan akan saya bela,”tegasnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply