Home Semasa COVID-19: Kuarantin 7 hari sahaja jika lengkap vaksin – Khairy

COVID-19: Kuarantin 7 hari sahaja jika lengkap vaksin – Khairy

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat penilaian semula dan menetapkan tempoh baru pengawasan kes positif serta kontak rapat COVID-19 di dalam negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagi tempoh pengasingan kes positif COVID-19 bagi semua jenis varian yang membabitkan individu sudah lengkap divaksinasi serta tidak bergejala ialah 7 hari, berbanding 10 hari sebelum ini.

“Bagi individu positif COVID-19 yang tidak lengkap vaksin atau bergejala, tempoh pengasingan selama 10 hari,

“Penilaian kesihatan akan dibuat sebelum pelepasan boleh diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, bagi tempoh pengasingan kontak rapat pula, individu yang sudah menerima dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama 5 hari.

“7 hari ke atas individu yang lengkap vaksinasi, yang belum lengkap atau tiada vaksinasi,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, prosedur ini akan mula berkuat kuasa esok (16 Januari 2022) dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan serta kuarantin.

“Bagaimanapun prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai,” katanya.

Menurutnya, penilaian semula itu dibuat berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat kepada kes positif.

Pada masa yang sama, perintah kuarantin bagi kontak rapat kepada kes positif COVID-19 turut dipendekkan kepada 5 hari bagi individu yang telah menerima dos penggalak.

Manakala bagi individu yang telah menerima 2 dos vaksin serta belum menerima vaksin penggalak, tempoh kuarantin ditetapkan selama 7 hari.

“Sekiranya bergejala, lakukan ujian pengesanan jangkitan COVID-19 menggunakan RTK-Antigen sama ada kendiri atau ke fasiliti kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut,

“Bagi kes kontak rapat yang telah menerima dos penggalak, mereka perlu menjalani ujian saringan RTK-Antigen pada hari ke-ima di bawah pemerhatian petugas kesihatan sebelum diberi pelepasan jika didapati negatif,”jelasnya.

Meskipun dengan ketetapan baharu itu, jelas Khairy, KKM telah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

“Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optima serta mengelakkan gejala jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya,” tambah Khairy.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply