Home Semasa 5,718,760 pengundi 18 tahun telah didaftar secara automatik – SPR

5,718,760 pengundi 18 tahun telah didaftar secara automatik – SPR

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) telah diperaku dan diwartakan pada hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, DPT BLN12/2021 dibuka untuk semakan selama 6 bulan mulai 14 Januari hingga 13 Julai tahun 2022.

“DPT BLN12/2021 ini mengandungi nama bagi 5,718,760 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu,

“25,220 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 9,293 orang yang bertukar status atau kategori pengundi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, SPR menyediakan 4 kaedah semakan bagai DPT BLN12/2021 seperti Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 serta mana-mana pemilih berdaftar telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2021,

“Sekiranya mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2021, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi boring C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” ujarnya.

Katanya, pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan raya perlu mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Borang C dan D boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN12/2021,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply