Home Pertahanan dan Keselamatan 385 anggota, 50 aset ATM siap siaga bantu mangsa banjir di Sabah

385 anggota, 50 aset ATM siap siaga bantu mangsa banjir di Sabah

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 13 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memberikan komitmen untuk meneruskan kerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah serta setiap agensi terlibat menerusi Operasi Murni (Ops Murni) walaupun, situasi banjir di negeri ini hampir pulih sepenuhnya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, seramai 385 anggota bersama 50 aset daripada Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Bgd) bagi kawasan Pantai Barat Sabah dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia (13 Bgd) bagi kawasan Pantai Timur Sabah sedang diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga untuk diaturgerak pada bila-bila masa di negeri Sabah.

Beliau berkata, keutamaan anggota ATM dalam Op Murni adalah memberi bantuan kepada masyarakat Sabah yang terjejas banjir dengan melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir terutama di kediaman dan infrastruktur awam.

“Selain itu, anggota turut membantu agensi-agensi berkaitan di Sabah melakukan kerja-kerja baik pulih kemudahan termasuk jambatan sekiranya ada yang terjejas,

“Anggota, aset ATM sentiasa dalam keadaan bersedia sekiranya berlaku gelombang ketiga banjir di Sabah,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

Hishammuddin turut menjelaskan, tekad ATM akan terus bersama-sama rakyat, bukan sahaja dari sudut keselamatan tetapi ketika berhadapan dengan bencana alam.

“Sejak hari pertama banjir melanda beberapa kawasan di Sabah termasuk Kota Marudu, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid, anggota Tentera Darat Malaysia telah diatugerak bukan sahaja untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat terutama Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tetapi juga menghantar barang keperluan dan makanan serta membantu penyediaan makanan di PPS,

“Atas sebab itu, saya ingin beritahu kepada Ketua Menteri serta seluruh rakyat Sabah, jangan bimbang. ATM akan terus membantu sehingga situasi banjir di negeri ini benar-benar pulih sepenuhnya,” tambahnya.

Terdahulu, Hishammuddin melakukan lawatan kerja ke Sabah bagi meninjau penerimaan Kapal Littoral Mission Ship (LMS) keempat iaitu RENCONG di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply