Home Semasa Kenyataan Abu Zahar bertentangan dengan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah

Kenyataan Abu Zahar bertentangan dengan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Enam Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) hari ini menegaskan kenyataan pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bersifat peribadi.

Perkara tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan keenam-enam ahli LPPR iaitu Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr. Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff

“Kami ingin menyatakan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Abu Zahar pada sidang media 5 Januari lalu adalah pandangan peribadi beliau,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, apa yang disuarakan oleh Pengerusi LPPR adalah tidak mencerminkan pendapat ahli lembaga lain.

Jelasnya, ahli LPPR telah bertemu dan berbincang dengan Abu Zahar sebelum sidang media tersebut diadakan.

“Kami telah mengemukakan cadangan bahawa isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dirujuk kepada jawatankuasa bebas, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Parlimen dan Panel Aduan SPRM,

“Namun, apa yang disuarakan dan dicadangkan oleh ahli LPPR tidak dinyatakan langsung semasa sidang tersebut,” jelas kenyataan itu.

Tegasnya, pihak LPPR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kerana ianya ditubuhkan sebagai lembaga penasihat.

“Kami memberikan penjelasan demi menjaga integriti LPPR dan institusi,” ujarnya.

Terdahulu, Abu Zahar menyatakan pihak LPPR telah berpuas hati dengan penjelasan Azam Baki berhubung isu pemilikan saham pada 24 November lalu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply