MUAR, 7 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mengaturgerakkan anggota dan aset melaksanakan tugas sekundernya dalam Operasi Murni (Op Murni) bagi menyelamatkan penduduk setempat yang terjejas banjir di beberapa negeri.
Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, penugasan Op Murni kini diteruskan di beberapa daerah di negeri Johor yang mengalami bencana banjir sejak Sabtu lalu.
Menurut TDM, seramai 2 orang pegawai termasuk 10 anggota dari Rejimen Keempat Artileri Diraja (4 RAD) diaturgerak bagi memindahkan aset dan peralatan Masjid Kundang Ulu, Tangkak ke Kompleks Penghulu Bukit Serampang, semalam.
“Pemindahan yang dilakukan menggunakan kenderaan 3 tan pasukan adalah disebabkan kenaikan paras air Sungai Muar, Stesen Bukit Kepong,” jelas TDM.
Selain itu, anggota 4 RAD turut membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk laksanakan saringan ujian RTK COVID-19 di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Tangkak pada Rabu.
“Ujian saringan RTK ini telah dilaksanakan di PPS Sekolah Kebangsaan Agama Bukit Gambir, Sekolah Kebangsaan Sialang dan Sekolah Kebangsaan Agama Bandar Tangkak,
“Keputusan saringan menunjukkan tiada kes positif COVID-19 bagi ketiga-tiga PPS,” ujar hantaran itu.
TDM menjelaskan, anggota dari Rejimen Ke-33 Artileri Diraja (33 RAD) turut diaturgerak bagi membantu mengagihkan barangan bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) kepada penduduk kampung yang terputus hubungan di Bukit Bendar, Muar.
“Seramai 10 anggota dan seorang pegawai 33 RAD telah melaksanakan pengagihan barangan mangsa banjir dengan menggunakan kenderaan 3 tan daripada pasukan 33 RAD dan bot daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” tambah TDM.