Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Murni: 91 RAJD siapkan struktur tambahan jambatan Kampung Lechar 12 jam

Op Murni: 91 RAJD siapkan struktur tambahan jambatan Kampung Lechar 12 jam

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=zET_vnBjGjM[/embedyt]

 

RAUB, 7 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) telah melaksanakan tugas sekundernya menerusi gerak kerja pemasangan tambahan 3 bay bagi jambatan Bailey di Kampung Lechar yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Ketua Jurutera Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Mejar Jeneral Datuk Ir Chapiti Redzuan berkata, seramai 80 anggota termasuk 2 orang pegawai dari 91 Rej Bantuan RAJD telah diatur gerak bagi membuat pemasangan tambahan jambatan ini.

Menurutnya, jambatan Compact Bailey 200 ini telah dibina pada Januari 2021 yang lalu. Pada awal Januari 2022, jambatan tersebut tidak boleh digunakan ekoran terdapat hakisan tanah sungai akibat banjir.

Pembinaan ini adalah bagi memudahkan perhubungan jalan darat antara penduduk Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar dengan Pekan Ulu Dong serta bandar Raub.

“Pada 7 Januari 2021, anggota 91 Rej Bantuan RAJD telah membina jambatan ini sebanyak 8 bay. Semasa, banjir yang pada akhir 2021, tebing sungai didapati terhakis,

“Oleh itu, kita kena tambah 3 bay bagi membolehkan jambatan ini untuk digunakan,

“91 Rej Bantuan RAJD laksana pemasangan tambahan selepas mendapat permohonan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),

“Kita yang buat dulu, jadi kita kena selesaikan jika ada masalah. Anggota tentera daripada 91 Rej Bantuan RAJD telah mula bergerak semalam, dan kita mulakan kerja-kerja pemasangan awal pagi tadi,” jelasnya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Lechar, semalam.

Beliau menjelaskan, kerja-kerja pemasangan akan siap sepenuhnya malam ini dan akan diserahkan kepada Pegawai Daerah Raub selepas ujian keselamatan telah dilakukan.

Mengulas mengenai gerak kerja pasukan RAJD dalam Operasi Murni (Op Murni), Ir Chapiti menjelaskan, pasukan kini juga telah diaturgerakkan untuk membina jambatan sementara di Jelebu, Negeri Sembilan yang runtuh berikutan hujan lebat pada 17 Disember tahun lalu.

“Kita sekarang sedang membuat persediaan untuk buat jambatan di Jelebu, kita baru siapkan di Sungai Lui, Hulu Langat beberapa hari yang lalu dan ada juga di tempat-tempat lain seperti di Gua Musang yang kita dah buat tinjauan,

“Kita tunggu kerjasama daripada JKR , kerajaan negeri dan juga NADMA sebab aset-aset kita ini terpasang sejak tahun lepas masih belum dibuka lagi,” ujarnya.

Tambahnya, JKR Daerah Jelebu kini sedang menambak sebahagian daripada tebing sungai tersebut bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan jambatan sementara oleh anggota RAJD.

“Sungai di Jelebu itu adalah luas, jadi ia memerlukan jambatan sepanjang 100 kaki atau 30 meter,

“JKR daerah Jelebu sedang menambak sebahagian daripada sungai agar jarak lebih kecil untuk kita buat jambatan,

“Jadi proses itu sedang dilaksanakan sekarang oleh kontraktor dan kita sedang bersedia untuk pasang. Jambatan tersebut kepunyaan JKR Kuala Pilah dan kita akan bantu proses pemasangan,

“Sebahagian daripada anggota untuk membuat tinjauan sudah berada di sana. Dianggarkan oleh JKR, penambakan akan siap pada 17 Januari 2022. Jadi, anggota akan terus berada di sana untuk melakukan kerja-kerja pemasangan,” jelasnya.

Terdahulu, anggota dari 91 Rej Bantuan RAJD telah bertungkus lumus untuk menyiapkan kerja-kerja penambahan bay bagi jambatan berkenaan.

Kerja-kerja penambahan struktur jambatan di Kampung Lechar ini siap sepenuhnya pada jam 11.30 malam.-airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply