Home SemasaGlobal Iktiraf Taiwan sebagai negara, 7-Eleven didenda oleh China

Iktiraf Taiwan sebagai negara, 7-Eleven didenda oleh China

by M.Daim

BEIJING, 7 Jan – Kerajaan China bertindak mengenakan denda terhadap 7-Eleven kerana menjual peta yang menunjukkan kewujudan Taiwan sebagai sebuah negara.

Denda dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan Beijing terhadap pengendali kedai serbaneka di negara itu, Seven & i Holdings Co.

“Denda adalah sebanyak 150,000 yuan (RM98,872),” lapor Bloomberg.

Menurut laporan yang sama, jurucakap Seven & i Holdings Co menyatakan pihak syarikat memandang serius isu tersebut dan tidak akan mengulanginya di masa hadapan.

Pada Disember lalu, pihak berkuasa tempatan Beijing telah mengeluarkan amaran dan mengenakan denda terhadap syarikat berhubung penjualan peta tersebut.

“Peta yang dijual tidak memaparkan aksara atau nama Cina terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan dan kepulauan Diaoyu,” lapor Bloomberg.

Kepulauan Diayou merupakan kawasan tuntutan bertindih antara China dan Jepun di Laut Timur China. Kawasan kepulauan tersebut dinamakan Senkaku oleh Jepun.

“Peta tersebut turut meletakkan label sempadan yang tidak tepat di Wilayah Autonomi Xinjiang Uighur dan Wilayah Autonomi Tibet,” jelasnya.

China tidak mengiktiraf  Taiwan sebagai sebuah negara. Sebaliknya, Beijing menganggap negara pulau itu sebagai salah satu wilayahnya.

Sebelum ini, beberapa buah syarikat asing yang beroperasi di China telah mengemukakan permohonan maaf kepada kerajaan negara itu kerana memaparkan Taiwan sebagai sebuah negara. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply