Home Semasa “Dalam isu saham, saya tidak melakukan sebarang kesalahan” – KP SPRM

“Dalam isu saham, saya tidak melakukan sebarang kesalahan” – KP SPRM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Jan – “Dalam isu saham, saya tidak melakukan sebarang kesalahan, tuduhan yang mengatakan terdapat ‘conflict of interest‘ seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, perkara itu sudah beliau jelaskan kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membuat urus niaga.

“Saya tiada kepentingan atau benefisial ke atas saham-saham yang dibeli itu,

“Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurut Azam, kesemua saham-saham tersebut telah dipindahkan kepada akaun saham adiknya.

Berhubung tuduhan bahawa beliau mengawal banyak syarikat, Azam berkata, dakwaan itu adalah satu persepsi negatif dan menggambarkan seolah-olah beliau mengawal satu konglomerat yang besar.

Menurutnya, dakwaan itu dilihat seperti mahu menjatuhkan reputasinya sebagai Ketua Pesuruhjaya dan institusi SPRM itu sendiri dan ia satu perbuatan yang berniat jahat.

“Oleh itu, setelah mendapat nasihat peguam, saya mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemarkan reputasi saya dan juga SPRM,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau akui ada usaha beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM.

“Di waktu sama, saya amat sedar terdapat usaha oleh beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang baik terhadap SPRM dengan mengambil kesempatan untuk terus menghakis kepercayaan masyarakat ke atas SPRM,

“Mereka dengan sengaja, mahu menjadikan institusi Ketua Pesuruhanjaya sebagai sasaran serangan bertubi-tubi,

“Kita telah kenal pasti siapa dan apa agenda mereka malah, mereka telah menggunakan beberapa pihak tertentu untuk memberi tekanan kepada SPRM,” tegasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply