Home Semasa Banjir: 60 petugas DBKL, PPj turun padang bantu mangsa di Johor, Melaka

Banjir: 60 petugas DBKL, PPj turun padang bantu mangsa di Johor, Melaka

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengaturgerakkan 60 petugas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi membantu mangsa banjir di Segamat, Johor serta Melaka.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kesemua petugas telah berada di negeri berkenaan sejak Isnin serta membuka Pusat Kawalan Operasi Banjir bagi menyelaras dan mengatur gerak kerja bersama pasukan pengurusan bencana daerah serta negeri tersebut.

“Bantuan ini diadakan atas semangat Keluarga Malaysia untuk menyumbang tenaga dan mengerakkan aset dalam operasi membantu, menyelamat serta membersih kawasan yang terkesan,

“Bagi misi di Segamat, DBKL menggerakkan sebuah bot besar, 2 buah kenderaan pacuan 4 roda (4×4), 2 van dan 5 lori,

“Untuk misi di Melaka, PPj menggerakkan 6 buah pacuan 4×4, sebuah lori, beberapa buah bot kecil selain peralatan pembersihan seperti 15 unit water jet, 3 water pump dan 3 hos biru,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shahidan berkata, selain daripada operasi membantu, menyelamat dan membersih di kawasan terjejas bencana, bantuan bakul makanan turut akan diedarkan kepada keluarga yang terjejas banjir di kawasan-kawasan tersebut.

Menurutnya, jumlah sukarelawan daripada pelbagai agensi di bawah kementeriannya juga akan ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan dan keadaan semasa. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply