Home Semasa Banjir: Sultan Johor berkenan lawat mangsa di PPS SK Mawai

Banjir: Sultan Johor berkenan lawat mangsa di PPS SK Mawai

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 3 Jan – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar secra berterusan berkenan berangkat melawat mangsa-mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah-daerah yang dilanda banjir sejak Sabtu lalu.

Menurut hantaran di Facebook rasmi milik baginda memaklumkan, baginda telah berkenan melawat PPS Sekolah Agama Gemereh, Segamat yang menempatkan 76 mangsa banjir, pada Ahad.

Manakala, hari ini pula, baginda berkenan melawat PPS Sekolah Kebangsaan Mawai di Kota Tinggi yang dibuka semalam, dengan menempatkan 117 mangsa dari 26 buah keluarga.

“Sultan Johor turut berkenan mengurniakan sumbangan juadah makanan KFC kepada mangsa-mangsa banjir menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama QSR Brands (M) Holdings Bhd,

“Sebanyak 1,100 kotak makanan KFC disampaikan kepada mangsa banjir di PPS daerah Segamat dan Kota Tinggi yang disampaikan menerusi Pegawai Daerah,” jelas hantaran itu.

Baginda yang tiba di pekarangan SK Mawai pada pukul 12.15 tengah hari meluangkan masa kira-kira 20 minit mendengar taklimat berkaitan banjir dan melihat sendiri keadaan mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Sebanyak 3 PPS telah dibuka di daerah Kota Tinggi sejak Ahad dengan menempatkan seramai 174 mangsa yang terdiri daripada 51 keluarga dipindahkan.

PPS SK Mawai yang dibuka pada pukul 2 petang semalam pula menempatkan 117 mangsa daripada 36 keluarga penduduk kampung Mawai manakala PPS SK Telok Ramunia dibuka pada pukul 7.30 pagi menempatkan 4 keluarga dengan 16 penduduk Kampung Bukit Raja Darat, Pengerang.

Sebuah lagi PPS di Kota Tinggi dibuka di SK Semanggar pada pukul 7 petang semalam dengan 41 mangsa daripada 11 keluarga penduduk Kampung Semangar Dalam dipindahkan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply