Home Semasa Banjir: Jumlah mangsa di Johor terus meningkat

Banjir: Jumlah mangsa di Johor terus meningkat

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 3 Jan – Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat kepada 4,062 mangsa daripada 1,064 keluarga, setakat jam 12 tengah hari ini.

Ia berbanding 3,841 mangsa daripada 1,008 keluarga di 62 PPS, jam 8 pagi tadi.

Sebanyak 64 PPS telah dibuka berbanding 59 buah PPS pada tengah malam tadi di 5 daerah terjejas iaitu Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kluang.

Mersing turut terjejas akibat banjir di Johor selepas 6 PPS dibuka yang menempatkan 371 mangsa daripada 94 keluarga di daerah itu, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, Batu Pahat pula menjadi daerah ke-7 dan terbaru terjejas banjir apabila seramai 66 mangsa daripada 21 keluarga dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Haji Kamisan, sehingga jam 12 tengah tadi.

Jelasnya, Segamat terus menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan 3,284 mangsa daripada 853 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS berbanding 3,178 mangsa daripada 828 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS, pada 8 pagi tadi.

“Sebanyak 64 PPS kini dibuka di Johor dengan Segamat yang paling banyak iaitu 47, diikuti Mersing (6), Kota Tinggi, Kluang dan Tangkak masing-masing 3, Johor Bahru (1) manakala Batu Pahat yang menjadi daerah ketujuh terjejas banjir turut membuka sebuah PPS,

“Mangsa banjir paling ramai adalah di PPS (SK) Kampung Tenang, Segamat (502 mangsa daripada 157 keluarga), SJK (C) Tah Kang di Segamat dengan 319 mangsa daripada 85 keluarga diikuti SK Batu Anam, Segamat (256 mangsa daripada 70 keluarga),

“Mersing adalah daerah kedua paling terjejas apabila mangsa banjirnya bertambah kepada 371 orang daripada 94 keluarga di 6 PPS tengah malam tadi,

“Kota Tinggi pula merekodkan 174 mangsa banjir daripada 51 keluarga, Tangkak (123 mangsa daripada 33 keluarga) dan Kluang (66 mangsa daripada 21 keluarga) yang kesemua daerah berkenaan membuka 3 PPS setakat ini,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Manakala, Johor Bahru pula merekodkan 2 mangsa banjir daripada sebuah keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Raya Sungai Tiram.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, cuaca hujan berterusan dijangka akan terus melanda hampir semua 10 daerah di negeri ini sehingga petang nanti. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply