Home Semasa Sambutan tahun baharu batal, ganti solat hajat dan doa selamat – Perdana Menteri

Sambutan tahun baharu batal, ganti solat hajat dan doa selamat – Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Kerajaan memutuskan untuk membatalkan Sambutan Tahun Baharu 2022 dan digantikan dengan solat hajat serta doa selamat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri sejak 18 Disember lalu.

Jelasnya, beliau meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk menganjurkan Solat Hajat serta Malaysia Berzikir Ambang 2022 di Masjid Putra, Putrajaya, malam ini.

“Dengan itu, saya mengajak Keluarga Malaysia untuk solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra, Putrajaya pada 31 Disember 2021,

“Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, boleh mengikuti siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, malam tadi.

Ismail Sabri turut menyarankan agar masjid-masjid di seluruh negara, terutamanya masjid negeri, menganjurkan majlis yang sama.

“Keluarga Malaysia yang bukan beragama Islam pula boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing,

“Semoga usaha kita semua mendapat keberkatan dan Malaysia akan menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini, ” tambahnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply