Home Pertahanan dan Keselamatan Polis Marin usir 11 lagi PATI Indonesia ceroboh perairan Tawau

Polis Marin usir 11 lagi PATI Indonesia ceroboh perairan Tawau

by Nurulhuda

TAWAU, 29 Dis – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau telah menghalang cubaan 2 buah bot yang menceroboh masuk perairan negara dengan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam 2 siri pengusiran di laut Tanjung Saima, Pulau Sebatik.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Komisioner Polis (DCP) Ridzauddin Selamat menjelaskan, pengusiran dibuat semasa anggota ronda Operasi Benteng mengesan dan menahan sebuah bot yang dijuragani seorang lelaki tempatan di perairan berkenaan, semalam.

Menurutnya, lelaki tempatan tersebut membawa 7 orang penumpang berumur antara 31 tahun hingga 40 tahun yang terdiri daripada 5 orang lelaki dan 2 orang wanita, kesemua penumpang adalah bukan warganegara.

Sebelum itu, bot ronda MO PPM Tawau juga telah menghalang dan mengusir sebuah bot tempatan dari negara jiran yang membawa 4 PATI Indonesia yang cuba memasuki Tawau pada Ahad lalu.

“Juragan bot dan kesemua penumpang telah diberi penerangan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sepertimana yang ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998,

“Bot yang membawa PATI tersebut telah diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit COVID-19,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial PPM Wilayah 4, malam tadi.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, pihaknya akan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Tawau bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik COVID-19.

Tambah Ridzauddin, PPM Wilayah 4 tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply