Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan salur bantuan RM500 kepada anggota tentera terjejas banjir

Kementerian Pertahanan salur bantuan RM500 kepada anggota tentera terjejas banjir

by Nurulhuda

TEMERLOH, 29 Dis – Kementerian Pertahanan telah menghulurkan bantuan kepada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang terkesan susulan bencana banjir melanda Pahang sehingga menyebabkan Kem Batu 3 di Temerloh turut ditenggelami air.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien menjelaskan, pihaknya telah menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap isi keluarga yang terkesan bagi meringankan beban mereka.

“Ia merupakan sumbangan tambahan terhadap bantuan RM1,000 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan bantuan RM500 yang diumumkan Kerajaan Negeri Pahang,

“Selain wang tunai, Kementerian Pertahanan turut membekalkan bakul makanan serta kelengkapan asas rumah seperti peti ais, cerek, dapur, periuk nasi, bantal, tilam, cadar, selimut dan katil kepada mereka,

“Kementerian turut menyalurkan peruntukan RM10,000 khusus untuk Sekolah KAFA di Kem Batu 3 bagi tujuan membaikpulih kerosakan,” jelasnya.

Hishammuddin menjelaskan, bantuan-bantuan tambahan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), awam Kementerian Pertahanan dan veteran ATM di seluruh negara yang terjejas akibat banjir ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata demikian selepas sesi tinjauan ke Kem Batu 3 yang turut terjejas akibat banjir yang melanda baru-baru ini, pada Rabu.

Menurutnya, seramai kira-kira 400 anggota termasuk anggota bujang dan 700 ahli keluarga di Kem Batu 3 ini telah terkesan dengan bencana banjir yang berlaku dalam kem berkenaan pada 20 Disember yang lalu.

Bencana banjir tersebut telah menenggelamkan sebahagian besar kem berkenaan.

“Tinjauan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin hari ini mendapati air telah surut dan kerja pembersihan sedang giat dilaksanakan,

“Saya telah arah bantuan segera disampaikan kepada semua anggota yang terjejas di Kem ini dan setiap kerosakan segera dibaikpulih. Peruntukan tambahan juga akan disalurkan sebagai persediaan jika Kem Batu 3 ini dilanda banjir gelombang kedua,

“Kementerian Pertahanan juga akan dapatkan kediaman di sekitar kem yang kebiasaannya selamat ketika banjir untuk disewa bagi didiami kira-kira 30 keluarga jika berlaku gelombang kedua,

“Ini penting demi keselamatan dan moral mereka yang banyak berkorban semasa musim banjir ini,” jelasnya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.

Terdahulu, Hishammuddin mendengar taklimat situasi banjir di kem tersebut dan pelaksanaan Operasi Murni (Op Murni) oleh Panglima 4 Briged Mekanize (Mek), Brigedier Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Manakala taklimat operasi banjir daerah Temerloh telah disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Temerloh yang bertempat di 11 Skuardran Rejimen Askar Jurutera Diraja (Mekanize) (11 Skn RAJD Mek).

Beliau turut berkesempatan melawat beberapa Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan instalasi teknikal yang terjejas.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan anggota ATM akan terus mempertingkatkan operasi terutamanya dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan yang terjejas.

“Saya telah mengarahkan supaya operasi ATM di kawasan yang belum surut kekal pada tahap tertinggi manakala di kawasan yang telah surut jumlah anggota akan ditambah bagi mempercepatkan kerja-kerja pembersihan,” tambahnya.

Kem Batu 3 ini dikelilingi Sungai Semantan dari arah barat ke timur dan berada betul-betul di kawasan teluk yang menyebabkan kawasan kem berkenaan sering mengalami banjir.

Kerja-kerja pembersihan kini sedang giat dilaksanakan bagi memulihkan semula kem ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply