Home Pertahanan dan Keselamatan ATM terima 55 enjin bot, tingkat keupayaan operasi hadapi banjir

ATM terima 55 enjin bot, tingkat keupayaan operasi hadapi banjir

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Pembelian kecemasan 55 unit Outboard Motors (OBM) atau enjin bot oleh Kementerian Pertahanan telah sampai dan akan digunakan sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi gelombang kedua banjir.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam hantaran di media sosialnya berkata, pembelian ini bagi menampung penggunaan enjin bot ATM sedia ada yang digunakan tanpa henti sejak hari pertama banjir melanda.

“Kesemua 55 unit enjin bot baru tersebut telah sampai dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh ATM bagi meningkatkan keupayaan operasi terutama memindahkan mangsa banjir,

“Ia juga bagi menghantar makanan dan barang keperluan di kawasan-kawasan di mana banjirnya masih belum surut,” katanya.

Menurut Hishammuddin, enjin bot tambahan ini juga mengukuhkan lagi kesiapsiagaan ATM bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir dalam masa terdekat.

Pada Ahad, Hishammuddin berkata, Kementerian Kewangan (MoF) turut meluluskan pembelian kecemasan 55 unit bot OBM untuk kegunaan ATM.

“Saya juga menerima laporan berhubung situasi yang mana bot-bot ATM terpaksa digunakan tanpa henti di kawasan-kawasan yang terjejas,

“Susulan itu, MINDEF (Kementerian Pertahanan) berhubung secara terus dengan MoF bagi membuat pembelian kecemasan 55 unit Outboard Motors (OBM). Alhamdulillah, permohonan ini telah diluluskan oleh pihak MoF,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!