Home Pertahanan dan Keselamatan Utamakan nyawa mangsa banjir, bukan masa untuk salahkan sesiapa – Panglima ATM

Utamakan nyawa mangsa banjir, bukan masa untuk salahkan sesiapa – Panglima ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengutamakan usaha menyelamat mangsa banjir.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, pihaknya meletakkan keselamatan rakyat terutama mangsa bencana alam sebagai keutamaan bagi memastikan usaha pengurusan bencana alam dapat dikoordinasikan secara tersusun dan berkesan.

Affendi menambah, situasi semasa memerlukan kerjasama padu di antara semua pihak.

“Ini bukan masa untuk mana-mana pihak meletakkan kesalahan sehingga boleh mengganggu dan menjejaskan sebarang usaha menyelamat serta memindahkan mereka yang terkesan akibat bencana ini,

“Apa yang penting di sini adalah kerjasama padu antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan,” katanya.

Beliau menambah, sebarang usaha yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep Whole Of Government Approach.

“Ini bagi memastikan setiap agensi terlibat yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dapat digembleng secara bersama dan berkesan.

“Sebarang kekurangan dalam aspek pengurusan banjir ini adalah tugas bersama setiap agensi untuk mencari jalan penyelesaian dalam menambah baik operasi yang dilaksanakan dan di masa akan datang,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Affendi turut menegaskan ATM sentiasa komited melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu Pihak Berkuasa Awam yang dikoordinasikan NADMA dalam menyelamatkan mangsa banjir.

Beliau turut menyeru kepada mangsa banjir untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan demi kelancaran operasi yang dilaksanakan.

Terdahulu, Affendi menjelaskan, seramai 63 pegawai dan 856 anggota ATM telah diaturgerakkan dalam usaha menyelamat mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.

Jelasnya, anggota dan aset ATM digerakkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) yang terlibat dalam Operasi Murni (Op Murni) tertumpu kepada beberapa kawasan terjejas di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.

“Op Murni ini diaturgerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, penyediaan dan pengagihan makanan, pegawai perhubungan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan telah mengaturgerakkan aset-aset seperti trak, pacuan empat roda, bot tempur serta aset udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekiranya diperlukan,

“ATM sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk diaturgerakkan ke lokasi-lokasi terjejas di samping membantu pihak berkuasa dan agensi-agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” jelasnya. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply