Home Pertahanan dan Keselamatan Op Murni: 63 pegawai, 856 anggota ATM diaturgerak bantu mangsa banjir

Op Murni: 63 pegawai, 856 anggota ATM diaturgerak bantu mangsa banjir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat termasuk kumpulan sokongan telah digerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

Ia termasuklah penyediaan dan pengagihan makanan serta penugasan pegawai perhubungan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menjelaskan, ATM juga telah mengaturgerakan aset-aset seperti trak 3, 5 dan 7 tan, land rover, bot tempur serta aset udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila diperlukan.

Beliau turut berkata, ATM sentiasa bersedia dengan kekuatan 1 Kompeni iaitu 5 pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diaturgerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.

“ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa awam dalam menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana banjir terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat,

“Pada masa kini, kesiagaan anggota dan aset ATM melalui pelaksanaan Operasi Murni (Op Murni) yang digerakkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) memberi tumpuan kepada beberapa kawasan terjejas di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Affendi juga menjelaskan, ATM sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk di aturgerakkan ke lokasi-lokasi terjejas di samping membantu pihak berkuasa awam dan agensi-agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),

“Ini termasuklah dalam menyegerakan pelaksanaan proses pemindahan serta bantuan-bantuan lain,” tambahnya.

Sepanjang hujung minggu lalu, Lembah Klang, Pahang, Kelantan dan Terengganu berdepan hujan lebat berterusan menyebabkan lebih 30,000 mangsa terjejas.

Ahad lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah menjelaskan ATM telah diatur gerak bagi membantu operasi banjir khususnya di kawasan yang terjejas teruk.

Jelasnya, langkah itu diambil susulan situasi banjir di beberapa negeri semakin membimbangkan akibat hujan lebat selama 24 jam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bantuan awal sebanyak RM100 juta bagi membaiki kerosakan rumah yang berlaku serta bantuan khas RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas banjir.

Sementara itu, Hishammuddin turut memuat naik beberapa keping gambar di media sosial miliknya berkaitan atur gerak anggota tentera di lokasi dalam menyelamat mangsa banjir di seluruh negara.

Sehingga semalam, NADMA menjelaskan, seramai 41,418 mangsa yang terkesan akibat bencana banjir di 8 negeri telah dipindahkan ke 405 pusat pemindahan sementara (PPS). -airitmes.my

Related Articles

Leave a Reply