Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM atur gerak aset, anggota pindah mangsa banjir di Kuantan

TLDM atur gerak aset, anggota pindah mangsa banjir di Kuantan

by Nurulhuda

KUANTAN, 19 Dis – Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diaturgerakan bagi melaksanakan Operasi Murni (Op Murni) bagi misi bantuan menyelamatkan penduduk yang terkandas di Kampung Padang Garuda, Batu 10 ekoran hujan lebat sejak Jumaat.

Markas Wilayah Laut 1 menerusi hantaran di media sosialnya berkata, anggotanya telah mula diaturgerakkan awal pagi tadi.

“Maklumat diterima daripada Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) yang berpusat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan bagi memberi memberi bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir di kawasan tersebut,

“Sehingga kini, seramai 29 orang awam dari 20 keluarga telah dipindahkan ke Sekolah Menegah Kebangsaan Sri Mahkota,

“TLDM bersama agensi awam yang lain sentiasa bersiapsedia untuk diaturgerakkan pada bila-bila masa,” jelas hantaran itu.

Tambahnya, sebarang maklumat serta permohonan bantuan mangsa banjir sekitar Kuantan, mohon disalurkan ke IPD Kuantan di talian 09-5652 090.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 5 petang semalam, sebanyak 50 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri ini, menempatkan sebanyak 429 keluarga.

Di Kuantan, seramai 266 mangsa daripada 86 keluarga ditempatkan di 3 PPS; Jerantut (sembilan PPS) (232 mangsa daripada 43 keluarga); Lipis (lapan PPS) (196 mangsa daripada 54 keluarga); Maran (sembilan PPS) (161 mangsa daripada 43 keluarga).

Sementara itu, paras air di 8 sungai sudah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai di Bukit Betong dan Jeti Lipis di Lipis, selain Sungai Lipis di Benta; Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; Sungai Pahang di Sungai Yap dan Paya Gintong di Jerantut; Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply